Tembikai banyak terdapat di kawasan tropika. Pada awalnya ia ditanam di Afrika Selatan sebelum mula diusahakan oleh petani di negara tropika yang lain.
Di sebalik rasanya yang manis, segar dan mudah disediakan, terselindung pelbagai manfaat kesihatan bagi mereka yang mengambil berat soal kesihatan serta penjagaan diri secara murah, mudah dan selamat.
Ia kaya vitamin A dan C, tiada lemak dan tinggi kandungan air serta serat, menjadikannya sesuai sebagai snek ketika hari panas atau mengisi perut sementara menunggu waktu makan utama.
Ramai yang sukakan rasa tembikai tetapi mereka selalunya akan membuang biji tembikai tanpa menyedari ia juga kaya dengan khasiat yang baik untuk kesihatan.
Hakikatnya, biji tembikai penuh dengan nutrien termasuk asid lemak, protein, tiamin, niacin, folat dan pelbagai jenis mineral termasuk magnesium, potasium, mangan, zat besi, zink, fosforus dan tembaga.
Oleh itu, ia tidak sepatutnya dibuang sebaliknya dikunyah bagi mendapatkan khasiatnya. Misalnya di negara Asia dan Timur Tengah, biji tembikai dipanggang dan dimakan sebagai snek atau dicampur bersama salad. Di Nigeria pula, biji tembikai dijadikan antara bahan dalam penyediaan sup.
Antara manfaat biji tembikai kepada kesihatan tubuh adalah ia mengandungi likopen yang bukan saja menambah seri wajah tetapi juga mampu menambah kesuburan lelaki.
Ia juga sumber terbaik bagi kumpulan vitamin B yang penting dalam mengekalkan kesihatan darah, sistem saraf dan berkesan dalam memelihara sistem pertahanan badan.
Satu cara untuk mendapatkan kebaikan biji tembikai adalah dengan merebusnya selama 45 minit di dalam periuk bertutup dan airnya boleh diminum seperti teh. Selain dikatakan baik untuk membantu seseorang sembuh dengan lebih cepat, ia juga dikatakan boleh menajamkan ingatan.
Tubuh memerlukan asid amino dan sesetengah daripadanya tidak boleh dihasilkan sendiri oleh badan dan memerlukan nutrien itu daripada sumber makanan.
Biji tembikai memiliki asid amino lengkap, membantu serapan kalsium, pembentukan kolagen dan tisu sambungan serta meningkatkan metabolisma, sistem kardiovaskular dan kesihatan seksual.
Ia juga penuh dengan magnesium yang penting untuk memastikan fungsi sihat jantung, mengekalkan tekanan darah normal, menyokong proses metabolisma dan sintesis protein.
Biji tembikai adalah sumber tenaga, asid lemak omega, protein dan kalori yang baik. Ia boleh membantu masalah kekurangan protein dalam badan iaitu satu cawan biji tembikai bersamaan 30 gram protein.
Kandungan minyak biji tembikai juga baik untuk penjagaan kulit supaya ia sentiasa gebu dan lembut, bebas daripada masalah jerawat dan masalah penyakit kulit yang lain serta mampu mengelak masalah penuaan pramatang.
Apabila disapu pada rambut, minyak yang berasal daripada biji tembikai membantu untuk menjadikan rambut sihat, subur dan berkilat.
No comments:
Post a Comment