Dalam dunia penerbangan, pendaratan dan berlepas adalah perkara paling sukar dan bahaya. Walaupun nampak mudah, hakikatnya juruterbang memerlukan fokus tinggi, kerjasama pembantu dan landasan yang bagus untuk mendaratkan pesawat dengan baik.
Namun, bagaimana dengan lapangan terbang yang memiliki landasan pendek, curam atau laluan berbahaya?
Pastinya juruterbang yang memiliki pengalaman serta kemahiran yang tinggi saja dibenarkan untuk melakukan penerbangan di lapangan tersebut.
Berikut adalah lapan lapangan terbang paling menggerunkan dan memerlukan pertimbangan serius sebelum anda berlepas ke lokasi atau mendarat.
Lapangan Terbang Paro, Bhutan
Dikelilingi puncak Himalaya yang tinggi, lapangan terbang kecil itu dikatakan paling mencabar bagi seorang juruterbang.
Pesawat yang hendak mendarat di situ bukan saja perlu mengelak puncak gunung di sekeliling lapangan terbang, tapi perlu berhati-hati dengan puluhan rumah di sekitar kawasan berhampiran.
Dalam beberapa kes, ada kapal terbang yang melepasi jarak beberapa meter saja daripada bangunan.
Malah, proses pendaratan boleh jadi bertambah sukar dengan kehadiran angin.
Sehingga kini, hanya lapan juruterbang di dunia dianggap berkeupayaan untuk mendarat di sana.
Lapangan Terbang Ais Runway, Antartika
Pernahkan anda terfikir bagaimana reka bentuk lapangan terbang di Antartika?
Landasan kapal terbang di negara itu diperbuat sepenuhnya daripada ais, tanpa tanah sebagai asas untuk menyokong struktur di bawahnya.
Walaupun pada musim bunga, lapisan ais di situ masih tebal dan mampu menampung berat pesawat.
Namun, jika terlalu berat, pesawat mungkin boleh terbabas dan menjunam terus ke dalam air sejuk.
Anehnya, pada musim sejuk pula, ais di laut menjadi begitu lemah hingga mustahil untuk kapal terbang mendarat dengan selamat, sekalipun ia hanyalah pesawat ringan.
Lapangan Terbang Matekane, Lesotho
Landasan pendek sejauh 400 meter itu sering menjadi topik perbualan serius berikutan tidak memberi ruang cukup kepada juruterbang untuk berada di atas tanah.
Terletak di pergunungan tinggi, juruterbang perlu memandu secara langsung dari pinggir tebing setinggi 610 meter sebelum berlepas ke udara.
Lapangan Terbang Antarabangsa Barra, Scotland
Lapangan terbang seumpama itu adalah satu-satunya di dunia yang mana pesawat perlu mendarat di pantai.
Barra adalah pulau di Outer Hebrides dengan jumlah penduduk hanya 1,174.
Tidak hairanlah jika orang ramai tidak tertarik untuk datang berkunjung ke pulau terbabit kerana lapangan terbangnya hanya sekadar jaluran pantai.
Juruterbang perlu memastikan masa pendaratan sesuai kerana jika berlakunya air pasang, mereka akan mendarat terus ke laut.
Lapangan Terbang Gibraltar
Lapangan terbang ini sememangnya cukup unik dan kadangkala boleh jadi menyeramkan.
Ini kerana di tengah-tengah landasannya ada lebuh raya utama yang menghubungkan laluan di kiri dan kanan.
Apabila pesawat hendak mendarat atau berlepas, loceng dan penghadang jalan akan diturunkan seperti di kebanyakan landasan kereta api.
Bahaya sentiasa menanti jika ada pemandu kereta yang bertindak melintas secara tiba-tiba!
Begitupun, pihak berkuasa dilihat sentiasa mengambil langkah waspada dengan menutup kedua-dua laluan lebuh raya ketika ada pesawat ingin mendarat ataupun berlepas.
Lapangan Terbang Pulau Tioman, Malaysia
Lapangan terbang itu dikatakan sangat berbahaya dan juruterbang yang memandu pesawat ke pulau berkenaan mesti menerima latihan khas sebelum dibenarkan mendarat.
Mereka perlu menerbangkan pesawat secara langsung di banjaran gunung yang bergerigi sebelum melakukan pusingan tajam untuk memasuki landasan.
Dalam keadaan itu, sesiapapun tidak mampu mengelak imaginasi buruk serta bayangan maut.
Sekiranya pendaratan cekap gagal, risiko insiden mengorbankan banyak nyawa adalah tinggi.
Lapangan Terbang Tenzing-Hillary, Nepal
Dikenali sebagai salah satu lapangan terbang paling sibuk di Nepal, Tenzing-Hillary beroperasi pada ketinggian 2,438 meter dan hampir tidak ada ciri-ciri kawalan trafik moden.
Lebih teruk, lapangan terbang ini tidak ada lampu dan hanya mempunyai bekalan tenaga elektrik yang sangat sedikit.
Kawasan ini kerap berdepan masalah liputan awan dan cuaca buruk. Sebab itu hanya penerbangan waktu siang dibenarkan dan bergantung kepada tahap kemahiran juruterbang di kawasan tersebut.
Lapangan Terbang Princess Juliana, The Caribbean
Asalnya adalah lapangan terbang tentera pada zaman Perang Dunia Kedua, tapi sekarang sudah menjadi hub utama untuk ke pulau Carribean sekitarnya.
Pesawat yang mahu mendarat di kawasan itu biasanya terbang rendah hingga mencapai jarak beberapa meter dari tanah.
Orang ramai, khususnya pengunjung pantai akan mengambil kesempatan berkumpul untuk melihat kapal terbang mendarat dan berlepas.
Berbeza dengan juruterbang, dia perlu tangkas mengawal pesawat untuk mengelak daripada terbabas ke kawasan berdekatan St Peter Hill.
No comments:
Post a Comment