Sunday 24 May 2015

Penyokong Kelantan Maut Dalam Nahas Di Kuala Krai


Seorang guru tahfiz maut dalam nahas di Kota Bharu. Arwah yang juga penyokong The Red Warriors terlibat dalam kemalangan yang melibatkan 2 buah kereta dan sebuah treler di KM 105, Jalan Kota Baharu-Gua Musang dekat Kuala Krai awal pagi tadi.

Kejadian kira-kira 6 pagi itu, kereta Perodua Viva yang dipandu mangsa, Afif Asyraf Yahya, 28, yang sedang dalam perjalanan pulang dari Stadium Nasional Bukit Jalil di Kuala Lumpur menuju ke Kota Baharu dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar sebuah treler di laluan bertentangan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Krai, DSP Mohd Azlan Abdul Kadir berkata mangsa meninggal di tempat kejadian manakala penumpang kereta berkenaan Amiruddin Nawi, 29, yang juga sepupu mangsa hanya cedera ringan.

Akibat perlanggaran, treler tersebut terjatuh ke dalam gaung di kiri jalan. Bagaimanapun pemandunya Salmizi Ab Kader, 38, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Dalam pada itu, sebuah kereta jenis Perodua Alza yang berada di belakang kereta mangsa dipercayai gagal mengelak kereta mangsa lalu melanggar bahagian belakang kereta mangsa.

Namun pemandunya Nor Azizi Jaaffar, 44, tidak mengalami sebarang kecederaan dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Krai untuk dibedah siasat.

Mangsa dan sepupunya dalam perjalanan pulang ke Kampung Kubang Kacang di sini.

Seorang lagi sepupu mangsa yang juga kakak Amiruddin, Norhayati Nawi, 34, berkata Afif Asyraf pertama kali ke Stadium Bukit Jalil bagi memberi sokongan buat pasukan Kelantan.

Jenazah dikebumikan petang ini di Tanah Perkuburan Islam Mukim Tiong di sini.
- See more at: http://oomedianetworkdot.blogspot.com/2015/05/penyokong-kelantan-maut-dalam-nahas-di.html#sthash.W7m8W6Vi.dpuf

No comments:

Post a Comment